air kotak polis johor

Dua Polis Diberi Air Kotak, Bukan Wang – Ketua Polis Johor

JOHOR BAHRU, 21 Sept (Bernama) — Polis Johor menafikan dakwaan dua anggotanya menerima rasuah daripada seorang individu di Kawasan Perindustrian Kulai, pada 3 Sept lepas, seperti dalam rakaman video yang ditularkan menerusi aplikasi TikTok.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku semasa dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) sedang membuat rondaan ketika Festival Hantu Lapar yang berlangsung di kawasan tersebut.

Beliau berkata dua anggota lelaki itu dan individu yang merupakan pemilik sebuah kilang berusia lingkungan 50-an, tampil membuat laporan polis semalam selepas video itu tular.

“Kita sudah membuka kertas siasatan dan hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku ketika Festival Hantu Lapar. Berdasarkan keterangan, dua anggota itu telah mengatakan diberikan air kotak oleh seorang lelaki.

“Pemilik kilang itu turut tampil membuat laporan polis dan menafikan memberi wang kepada kedua-dua anggota berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor Siri 1/2023 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

BACA: Ramai Belum Tahu, Ni Cara Nak Dapat Minyak ‘Free’ Setahun Dari Petronas

Bagaimanapun, beliau berkata siasatan masih diteruskan bagi memastikan tiada elemen rasuah sepenuhnya berlaku dalam kes itu.

Kamarul Zaman pada masa sama turut menasihati orang ramai agar menyalurkan video seumpama itu kepada pihak polis terlebih dahulu untuk disiasat daripada ditularkan di media sosial hingga boleh menimbulkan pelbagai persepsi.

Semalam, tular sebuah rakaman video berdurasi 39 saat memaparkan seorang lelaki memberikan sesuatu kepada dua anggota polis yang sedang duduk di dalam kenderaan peronda, namun menerusi video itu tidak jelas menunjukkan apa yang diberikan individu berkenaan kepada anggota tersebut.

Sumber: BERNAMA

The post Dua Polis Diberi Air Kotak, Bukan Wang – Ketua Polis Johor appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *