helo kuala lumpur ciplak

Dakwaan Ciplak: Kedutaan Indonesia Sahkan Lagu Helo Kuala Lumpur Dimuat Naik Di India

Baru-baru ini, tular di media sosial berkenaan sebuah lagu kanak-kanak dari Malaysia bertajuk Helo Kuala Lumpur didakwa menciplak lagu Indonesia, Halo-Halo Bandung hingga mencetuskan pergaduhan di dunia internet.

Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Hermono yang peka akan keadaan itu tampil menjawab isu tersebut dengan mengatakan pemuat naik lagu Helo Kuala Lumpur yang disyaki menciplak lagu asal disahkan berasal dari India.

Lapor CNN Indonesia, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) telah menjalankan siasatan dan mengesan pemilik akaun Lagu Kanak TV memuat naik lagu tersebut pada 2020.

Hasil siasatan mendapati bahawa akaun tersebut dikendalikan dari India dan bukannya di Malaysia seperti yang didakwa oleh penduduk di negara jiran.

“Kedutaan Indonesia mengesan pemilik akaun Lagu Kanak TV dikelola dari India,” kata Hermono.

Bagaimanapun, Hermono mengatakan Kedutaan Indonesia pada ketika ini masih lagi menyiasat pemilik akaun YouTube tersebut.

“Jika disahkan akaun tersebut diuruskan oleh warganegara Malaysia dan berada di Malaysia, sudah tentu kami akan meminta pihak berkuasa Malaysia mengambil tindakan kerana terdapat unsur-unsur pelanggaran hak cipta atau sekurang-kurangnya plagiarisme lagu kebangsaan Indonesia itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengatakan pihaknya juga telah menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk meminta bantuan mengesan lokasi pemilik akaun Lagu Kanak TV.

BACA: Lagu Kembali Dimainkan, Ini Keadaan Terkini Vokalis Elkasih

Sementara itu, Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia (Kemendikbud Ristek) turut membuka suara berhubung isu tersebut dengan menyatakan mereka sedia memfailkan saman berhubung kes dakwaan plagiarisme ini.

Ketua Pengarah Kemendikbud Ristek, Hilmar Farid, mengakui telah menghubungi YouTube, meminta segera menurunkannya jika mendapati ada persamaan ketara antara kedua-dua lagu itu.

Disebabkan saluran YouTube akaun tersebut menggunakan bahasa Melayu, orang ramai dengan pantas mula membuat keputusan melulu mendakwa lagu tersebut telah memplagiat lagu Halo-Halo Bandung tanpa melakukan soal selidik terlebih dahulu.

Dalam masa sama, warga maya Indonesia mula menuduh rakyat Malaysia mencuri lagu tersebut kerana tidak memberikan kredit kepada negara mereka.

Walaupun lagu tersebut dimuat naik pada Mei 2020, namun ia mula menjadi tumpuan warga maya sejak kebelakangan ini kerana dianggap memplagiat lagu Halo-Halo Bandung.

Difahamkan juga, lagu Helo Kuala Lumpur hanya menukar sapaan dan beberapa perkataan lain daripada lirik asal Halo-Halo Bandung yang merupakan karya Ismail Marzuki.

Sumber: CNN Indonesia

The post Dakwaan Ciplak: Kedutaan Indonesia Sahkan Lagu Helo Kuala Lumpur Dimuat Naik Di India appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *