China iphone pegawai kerajaan pusat

China Sekat Penggunaan iPhone Dalam Kalangan Pegawai Kerajaan Pusat

The Wall Street Journal melaporkan, China telah menyekat penggunaan peranti iPhone dalam kalangan pegawai kerajaan pusat baru-baru ini.

Susulan itu, nilai saham Apple telah dilaporkan merosot sebanyak 3.6 peratus pada Rabu, semalam dan ditutup pada paras nilai $182.91 (RM855.29) di New York.

Ini merupakan penurunan nilai harian terbesar dalam masa satu bulan. Sebelum Rabu, saham Apple dilaporkan meningkat sebanyak 46 peratus pada tahun ini.

Sumber yang kerap berurusan dengan agensi kerajaan pusat China memberitahu CNN bahawa penjawat awam di China telah mematuhi undang-undang ini sejak sebelum wabak pandemik lagi.

Mereka tetap mematuhi peraturan tersebut walaupun undang-undang tersebut tidak dijadikan sebagai satu polisi secara rasmi.

Sumber yang memberikan maklumat ini diminta untuk tidak dinamakan ekoran topik ini dianggap begitu sensitif di negara tersebut.

Selain itu, sumber tersebut turut menambah bahawa penjawat awam di kerajaan pusat masih cenderung untuk menggunakan telefon jenama tempatan seperti Huawei.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple telah membuat lawatan berprofil tinggi ke negara tersebut pada Mac lepas.

Seperti sedia maklum, China memiliki jumlah pasaran yang sangat luas serta mempunyai pusat pembuatan produk syarikat tersebut.

Dengan jualan dari negara gergasi itu sahaja telah menyumbang kira-kira 16 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan syarikat terbabit.

Larangan iPhone untuk pegawai kerajaan mungkin merupakan satu tindakan balas terhadap tindakan serupa yang pernah diambil Amerika Syarikat sebelum ini.

Tindakan ini akan memberi kesan terhadap jenama-jenama asing besar lain, termasuk Apple itu sendiri.

Pada Jun 2022, CNN melaporkan bahawa terdapat beberapa menteri dalam kerajaan China telah melarang kereta Tesla daripada memasuki premis mereka.

Larangan daripada memasuki premis telah dikuatkuasa di beberapa premis kementerian atas faktor keselamatan.

Manakala, beberapa jenama China seperti Huawei dan ZTE telah dikenakan sekatan kerajaan Amerika Syarikat.

Pada November 2022, kerajaan pimpinan Biden telah meluluskan sekatan terhadap beberapa kelengkapan telekomnikasi daripada kedua-dua syarikat terbabit.

Antara justifikasi sekatan tersebut, pihak kerajaan percaya bahawa kedua-dua syarikat terbabit memberikan risiko terhadap keselamatan awam di Amerika Syarikat.

Selain jenama peranti elektronik, aplikasi media sosial TikTok juga disekat oleh beberapa institusi di Amerika Syarikat. Institusi tersebut termasuklah, Dewan Perwakilan, Bandar New York, Montana, New Jersey, Ohio, Texas dan Georgia.

Sekatan ke atas aplikasi ini dikuatkuasa atas kebimbangan bahawa jerajaan China mampu memiliki akses terhadap data pengguna menerusi syarikat China, ByteDance.

BACA: Jadi Kegilaan Ramai, Menu Ais Panggang Bersalut Kuah & Rempah ‘Laku Keras’ Di China

Sumber: CNN Business

The post China Sekat Penggunaan iPhone Dalam Kalangan Pegawai Kerajaan Pusat appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *