9 Jam dalam kereta

Budak Dua Tahun Maut 9 Jam Tertinggal Dalam Kereta, Nenek Terlupa Bawa Keluar

Seorang budak lelaki berusia dua tahun dilaporkan maut selepas ditinggalkan dalam kereta sekurang-kurangnya sembilan jam dalam cuaca panas di Bandar Tsuyama, Jepun.

Memetik The Straits Times, ekoran kejadian itu, nenek berusia 53 tahun itu kemudiannya telah ditahan kerana kecuaian.

Menurut polis wilayah Okayama, nenek yang bekerja sebagai pembantu penjaga warga emas itu mengaku bersalah meninggalkan mangsa dalam kereta.

Kejadian dilaporkan berlaku pada Sabtu lalu ketika tertuduh pergi bekerja seperti biasa.

Asahi Shimbun pada Ahad melaporkan bahawa tertuduh memberitahu polis, ketika kejadian itu dia terlupa cucunya itu berada di dalam keretanya.

Nenek itu berkata bahawa dia terlupa menghantar kanak-kanak lelaki itu ke pusat jagaannya.

Budak lelaki itu dikatakan telah ditinggalkan di dalam kereta antara 8.15 pagi hingga 5.40 petang waktu tempatan.

Kereta itu telah diletakkan oleh tertuduh di hospital tempat dia bekerja.

Dalam pada itu, Agensi Meteorologi Jepun berkata bahawa suhu di bandar itu pada hari tersebut telah mencecah sehingga 31.7 darjah C.

Pada hari tersebut, tertuduh dilaporkan sepatutnya membawa cucunya itu ke pusat jagaan anak perempuannya yang tinggal di kawasan kejiranan yang sama.

Bagaimanapun, selepas menjemput mangsa dari rumah anak perempuannya, dia terus pergi ke hospital bukan ke pusat jagaan yang sepatutnya.

Tertuduh hanya menyedari mangsa telah ditinggalkan di tempat duduk belakang keretanya selepas dia sudah habis bekerja.

Ketika ditemui, mangsa sudah tidak bertindak balas dengan reaksi yang diberikan kepadanya.

Mangsa ditemui bersandar di kerusi kanak-kanak dengan tali pinggang keledar, lapor The Yomiuri Shimbun.

Tertuduh yang panik melihat keadaan itu kemudiannya meminta rakan sekerja untuk memanggil bantuan kecemasan.

Mangsa akhirnya disahkan sudah meninggal dunia dan polis percaya bahawa mangsa mengalami strok haba kerana tiada kesan kecederaan luaran ditemui pada badan mangsa.

BACA: Ramai Belum Tahu, Ni Cara Nak Dapat Minyak ‘Free’ Setahun Dari Petronas

Susulan kejadian itu, bedah siasat kehakiman akan dijalankan tidak lama lagi untuk menentukan punca kematian mangsa, tambah laporan itu.

Awal September lalu, Agensi Meteorologi Jepun berkata bahawa negara itu mengalami musim panas paling panas pernah direkodkan sejak tahun 1898.

Sumber: The Straits Times

The post Budak Dua Tahun Maut 9 Jam Tertinggal Dalam Kereta, Nenek Terlupa Bawa Keluar appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *