solat jumaat sebelah masjid

Boleh Ke Solat Jumaat Di Pejabat Sebelah Masjid? Ini Jawapan Dr Zulkifli

Seperti yang diketahui, setiap hari Jumaat kaum Adam diperintahkan untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid. Solat ini mempunyai dua khutbah sebelum mengerjakan ibadah tersebut.

Berbeza dengan solat Zohor yang mempunyai 4 rakaat, istimewanya solat Jumaat mempunyai 2 rakaat sahaja.

Pun begitu, bagaimana jika pejabat dan masjid berada dalam jarak dekat? Adakah boleh jika seseorang itu hanya menunaikan solat Jumaat di dalam pejabat?

Untuk mengupas persoalan tersebut, mari kita ikuti perkongsian mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui Maktabah Al-Bakri di bawah ini.

Hukum Solat Jumaat Di Pejabat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada sedikit kekeliruan. Berkaitan solat Jumaat dalam keadaan dua tempat yang berbeza. Begini Datuk Dr. Kedudukan pejabat saya betul-betul bersebelah masjid. Jadi bila solat Jumaat, saya perasaan ada yang solat dalam bilik pejabat dengan alasan mereka, masih dalam jarak yang dekat dengan masjid walaupun berlainan bangunan.

Dulu memang ada ramai sangat jemaah untuk solat Jumaat sampai memenuhi ruang kawasan luar masjid, sehinggalah dikawasan luar pejabat saya itu. Dan disebabkan pendekatan itu, ada staff yang solat dalam bilik pejabat sahaja dengan alasan masih dekat dengan masjid dan dalam kawasan yang dibenarkan.

Kekeliruan saya adalah, bukankah solat Jumaat mesti dalam kawasan/bangunan yang sama walaupun terpaksa solat diluar kawasan? Boleh ke solat Jumaat macam tu, (dalam bilik opis bersebelahan masjid) padahal bangunan pejabat bebetul terpisah dengan masjid. (Bangunan pejabat berhampiran sangat dengan masjid. Dalam 10 langkah dah masuk pagar masjid). Dulu saya boleh terima dengan alasan orang solat sampai keluar bangunan sehingga melibatkan tapak dia kawasan pejabat saya. Mungkin dikira saf belum terputus?

BACA JUGA: Hukum Makan Temilok Adalah Harus, Halal Tanpa Perlu Sembelihan – Dr. Zulkifli

Tapi apa yang saya perasan, selepas PKP jemaah sudah tidak seramai itu. Dan kawasan luar masjid masih ada ruang lagi. Tapi tetap masih ada staf yang solat di bilik pejabat bersebelahan masjid dengan alasan yang sama. Apa hukumnya Datuk Dr? Mohon pencerahan. Saya betul-betul keliru. Kalau salah, saya nak maklumkan pada kawan-kawan saya itu.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

Surah al-Jumu‘ah (9)

BACA JUGA: Apa Hukum Wanita Buat ‘Live Streaming’ & Dapat ‘Donation’? Ini Jawapan Dr Zulkifli

Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut. [Lihat : al-Fiqh al-Manhaji (1/198)] Hal ini berdasarkan hadis, daripada Abu Hurairah RA, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda :

نَحْنُ الآخِرُونَ السَّابِقُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، بَيْدَ أَنَّهُمْ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِنَا، ثُمَّ هَذَا يَوْمُهُمُ الَّذِى فُرِضَ عَلَيْهِمْ فَاخْتَلَفُوا فِيهِ، فَهَدَانَا اللَّهُ، فَالنَّاسُ لَنَا فِيهِ تَبَعٌ، الْيَهُودُ غَدًا وَالنَّصَارَى بَعْدَ غَدٍ

Maksudnya : “Kita adalah umat yang terakhir (lahir ke dunia) dan umat yang terdahulu (menikmati kelebihan, ganjaran dan masuk syurga) pada hari kiamat walaupun mereka (umat terdahulu) diberikan kitab (syariat samawi) sebelum kita. Hari Jumaat ialah hari yang telah difardhukan atas mereka (untuk mendampingkan diri kepada Allah) tetapi mereka telah mempertikaikannya. Lalu Allah memberi petunjuk kepada kita sedangkan mereka menerima hari-hari berikutnya, iaitu Yahudi pada hari Sabtu dan Nasrani pula pada hari Ahad.”

Riwayat al-Bukhari (876) dan Muslim (855)

Antara syarat solat Jumaat ialah:

Solat Jumaat hendaklah didirikan di dalam kawasan binaan, sama ada di bandar atau di kariah yang mempunyai penduduk yang bermustautin tidak kurang daripada 40 orang lelaki yang cukup syarat-syarat wajib mendirikan Jumaat.

BACA JUGA: Hukum Berwuduk Dengan Mencedok Tangan Ke Dalam Gayung, Sah Ke? Ini Jawapan Mufti

Oleh kerana dalam kes di atas masjid atau surau Jumaat masih lagi terdapat ruang walaupun adanya bangunan yang lain berhampiran, kami berpendapat solat tersebut tidak sah kerana tiada sebarang uzur syar’i yang membenarkan solat di duan bangunan atau tempat yang berlainan. Hal ini terkecuali jika jemaah yang teramat ramai yang tidak memungkinkan untuk turun ke bawah dan solat seperti yang berlaku di persekitaran Masjidil Haram ketika benar-benar waktu puncak.

Kedua, suka kami nyatakan nas yang kita sebut di atas:

فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ

Maksudnya: “Maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat),”

Jelas memberi makna agar kita pergi menuju ke tempat Jumaat dan bukan hanya sembahyang di tepi meja dalam bilik pejabat kita. Marilah sama-sama kita berdoa semoga kita menjadi orang yang mendirikan solat.

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (40)

Sumber: Maktabah Al-Bakri

The post Boleh Ke Solat Jumaat Di Pejabat Sebelah Masjid? Ini Jawapan Dr Zulkifli appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *