bekalan beras putih

Bekalan Beras Putih Tempatan Dijangka Stabil Dalam Sebulan – Mohamad

KEPALA BATAS, 20 Sept (Bernama) — Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjangkakan bekalan beras putih tempatan di pasaran akan kembali stabil dalam masa sebulan susulan pelbagai langkah intervensi dan pemantauan berterusan dilakukan kerajaan.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata hasil libat urus KPKM bersama pemain industri beras negara yang melibatkan pengilang, pemborong dan peruncit bersetuju memberikan komitmen bagi merealisasikan pelaksanaan Program Khas Beras Putih Tempatan (PKBPT) di seluruh negara.

“Melalui PKBPT, pengilang akan meningkatkan pengeluaran sebanyak 20 peratus bekalan beras putih tempatan untuk pasaran dalam negara bagi tempoh satu tahun.

“Kita juga akan membuat intervensi di mana terdapat kekurangan, kemudian kita akan tampung melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan Peladang Outlet Pertubuhan Peladang Kawasan Pokok Sena, iaitu inisiatif di bawah seliaan LPP dalam PKBPT bagi tujuan pengedaran beras putih tempatan kepada kumpulan sasar terutama di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan pasar raya.

BACA JUGA: Jualan Rahmah Beras: Harga Beras Import Sekitar RM13 Hingga RM14 Bagi 5kg

Mohamad berkata kaedah intervensi itu dilakukan ketika kekurangan bekalan ayam dan telur sebelum ini.

Dalam pada itu beliau berkata Peladang Outlet di sini hari ini akan menjual 2,000 kampit beras pada harga RM26 untuk 10 kilogram.

Ketua Pengarah LPP Datuk Azulita Salim yang turut hadir pada program berkenaan berkata bermula April hingga Ogos 2023, sebanyak 62 program telah dilaksanakan di Pertubuhan Peladang seluruh negara yang mencatat hasil jualan sebanyak RM742,361.50 dan kehadiran pengunjung seramai 45,850 orang.

“LPP menyasarkan hingga Disember 2023, nilai jualan sebanyak RM1.59 juta diperoleh menerusi pelaksanaan Jualan Agro MADANI dengan anggaran pengunjung seramai 53,000 orang,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 40 Peladang Outlet di seluruh negara dipilih untuk menjadi lokasi pengedaran beras putih tempatan dengan menyasarkan 300 tan metrik beras putih tempatan dijual pada harga kawalan bagi menstabilkan bekalan di seluruh negara.

Program hari ini turut disertai 25 gerai Jualan Agro MADANI yang menawarkan barangan keperluan asas kepada masyarakat setempat pada harga yang berpatutan dengan penjimatan hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga jualan di pasaran setempat.

Sumber: BERNAMA

The post Bekalan Beras Putih Tempatan Dijangka Stabil Dalam Sebulan – Mohamad appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *