bayi cedera disyaki didera

Bayi Cedera Di Muka Disyaki Didera Pengasuh

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) — Seorang bayi perempuan berusia 17 bulan cedera di bahagian muka dipercayai akibat didera pengasuh di sebuah pusat asuhan di Bandar Mahkota Cheras, Kajang pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata pihak polis menerima laporan berhubung kejadian terbabit daripada ayah bayi itu yang berusia 26 tahun, pada 7.36 malam.

Beliau berkata pengadu yang bekerja sebagai pemandu e-hailing memaklumkan, semasa hendak mengambil anaknya di pusat asuhan itu, seorang guru atau pengasuh mendakwa anaknya telah diperlakukan dengan kasar oleh seorang guru lain ketika disuap makan sambil ditarik rambut serta dipicit hidungnya sehingga mengakibatkan hidung bayi itu mengalami kecederaan.

“Oleh sebab tidak berpuas hati dengan layanan dan perbuatan guru berkenaan, pengadu telah memberhentikan anaknya daripada dihantar ke pusat asuhan itu.

“Hasil pemeriksaan dan rawatan yang dibuat terhadap anak pengadu (mangsa) di sebuah hospital, pegawai perubatan mengesahkan anak pengadu mengalami soft tissue injury. Sehubungan dengan itu, pengasuh terbabit telah dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut juga mendapati pusat asuhan berkenaan telah beroperasi hampir tiga bulan tetapi dipercayai masih belum mempunyai lesen pengoperasian yang sah.

BACA: Jangan Main Pilih, Ini Cara Pastikan Horse Power “Aircond” Sesuai Dengan Saiz Bilik

Mohd Zaid berkata ketika ini, terdapat sembilan kanak-kanak di pusat asuhan itu dan tiga penjaga atau pengasuh merangkap guru di situ.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

“Siasatan lanjut masih dijalankan sebelum kertas siasatan dilengkapkan untuk dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan nasihat lanjut,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes Insp Muaz Mazlan melalui talian 017-9788804 daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Selangor.

Sumber: BERNAMA

The post Bayi Cedera Di Muka Disyaki Didera Pengasuh appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *