azizulhasni tarik diri

Azizulhasni Mohon Maaf Terpaksa Tarik Diri Sukan Asia Hangzhou

Jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang memohon maaf atas keputusan terpaksa menarik diri daripada menyertai Sukan Asia Hangzhou bermula minggu ini.

Menurut laporan, The Rocket Pocket Man itu terpaksa berbuat demikian atas faktor kecederaan gara-gara mengalami kemalangan semasa sesi latihan di Velodrom Nilai baru-baru ini.

“Dengan rasa berat hati, dukacita saya ingin memaklumkan tidak dapat menyertai Sukan Asia di Hangzhou. Kata sepakat telah diambil untuk saya menarik diri.

“Keputusan ini dibuat selepas saya mengadakan perbincangan dengan (ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara) John Besasley, Dr Kamarul (Hashimy Hussein) dan Dr Farrah Hani Imran.

“Dalam keadaan saya masih belum pulih sepenuhnya akibat kecederaan pada bahagian pinggul kiri, kami semua bersepakat adalah lebih baik saya menjalani proses pemulihan buat masa sekarang,” katanya, memetik Sinar Harian.

Azizulhasni menerankan demikian dalam sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil petang tadi.

Alami luka besar selepas terseret & terjatuh

Difahamkan Azizulhasni mengalami luka besar di paha ekoran terseret jauh pada kelajuan 95 kilometer sejam, selain siku, pinggul dan pergelangan kaki turut sama tercedera.

Menurut Astro Arena, nahas tersebut berlaku semasa dia sedang mengekori motosikal pacer pada kelajuan tinggi sebelum tayarnya meletup tiba-tiba sehingga dia terjatuh.

“Selepas terjatuh, saya terus memeriksa tulang bahu, kepala, pernafasan dan jantung saya, Alhamdulillah, semua OK tetapi disebabkan saya jatuh di bahagian kiri, saya mengalami luka kebanyakannya di sebelah kiri,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Azizulhasni turut berasa dukacita susulan dirinya begitu berharap dapat beraksi di temasya berkenaan sebagai penampilan terakhir.

“Saya amat berharap dapat pergi ke Sukan Asia Hangzhou kerana ia akan menjadi penampilan saya yang terakhir.

“Tetapi dukacitanya saya maklumkan, kami semua sepakat membuat keputusan bahawa saya terpaksa menarik diri daripada Sukan Asia ini.

“”Saya juga memohon maaf kepada kontinjen kita dan seluruh rakyat Malaysia yang berharap untuk saya beraksi di sana,” katanya.

Sumber: Stadium Astro, Sinar Harian

The post Azizulhasni Mohon Maaf Terpaksa Tarik Diri Sukan Asia Hangzhou appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *