panda sara keluarga

Ayah Sarung Maskot, Jadi Penghibur Jalanan Cari Duit “Extra” Sara Keluarga

Sekali pandang, individu yang menyarung maskot kartun ini kelihatan begitu ceria melayan karenah kanak-kanak di sekitar Puchong, Selangor.

Dengan maskot seperti watak Hello Kitty, Jerry (Tom and Jerry), Mickey Mouse, Katak dan Panda, individu berkenaan kelihatan berusaha gigih mengukir senyuman pada wajah kanak-kanak.

Namun siapa sangka, disebalik maskot tersebut rupanya adalah batang tubuh seorang ayah yang sanggup ‘berhujan dan berpanas’ mencari pendapatan tambahan demi keluarganya.

Meskipun sekadar pekerjaan sampingan, bapa kepada lima orang anak ini komited dengan kerjanya asalkan ada duit poket lebih untuk orang tersayang.

panda sara keluarga
Gambar: Siakap Keli

Kisah ini dikongsikan oleh Saiful Nizam Yusof, 44, yang mencari rezeki sebagai seorang pemakai maskot dalam satu temu bual eksklusif bersama Siakap Keli dalam segmen ‘Ini Kisah Aku’.

Menurut Saiful atau lebih mesra dikenali sebagai Epul, dia memulakan kerjaya sebagai seorang pemakai maskot ini selepas pandemik Covid-19 melanda.

panda sara keluarga
Gambar: Siakap Keli

“Idea maskot ni datang selepas Covid, waktu tu saya cuma ada satu maskot beruang. Dari pada situ, saya cuma hiburkan keluarga dan diri sendiri. Bermula dari situ saya cuba muat naik di Facebook dan lain-lain tengok sama ada dapat sambutan atau tidak,” ujarnya.

BACA: Kualiti Tahan 7 Hari, Keunikan “DIY Cendol” Untung Jual Sampai RM500 Sehari

Biarpun telah bekerja sebagai seorang store keeper di sebuah kilang automotif di Puchong, namun ia masih belum cukup menampung kos sara hidup.

Katanya, pendorong utamanya melakukan pekerjaan ini adalah komitmen yang tinggi perlu ditanggung berikutan isteri seorang suri rumah sepenuh masa dan membesarkan lima orang anak.

Minat menghiburkan kanak-kanak juga menjadi penyumbang kepada Epul memberanikan diri bergelar seorang pemakai maskot jalanan.

panda sara keluarga
Gambar: Siakap Keli

Pendapatan “Ikut Nasib”

Gambar: Siakap Keli

Ditanya mengenai adakah pekerjaan ini mampu menampung keluarga, Epul menjawab ia tidaklah meraih dapatan yang lumayan namun cukup untuk memberi makan keluarganya.

Lebih-lebih lagi pekerjaan ini juga tidak menentu dan bergantung kepada kehadiran orang ramai di kawasan tersebut.

BACA JUGA: Enam Bulan Berlatih Buang Pelat Kedah, Kini Bergelar Host MPL Malaysia

“Pendapatan melakukan perkhidmatan maskot ini tidaklah terlalu banyak, ia sekadar bawah RM1,000.

“Kerja ni tak menentu, kadang-kadang ada kerja, kadang-takda kerja. Jadi saya hari-hari kena promosikan kerja ini di Facebook atau mana-mana sosial media supaya mereka di luar sana tahu,” katanya.

Menari Dan Melambai Di Tepi Jalan Bukanlah ‘Peminta Sedekah’

Gambar: Siakap Keli

Meskipun sebahagian orang menganggap pekerjaan ini sebagai ‘peminta sedekah’ tetapi dia menyifatkan ia juga satu pekerjaan kerana dia bekerja menghiburkan orang ramai.

Tambahan lagi, tidak semua orang suka mengukir senyuman di raut wajah orang. Lebih-lebih pekerjaan ini memerlukan si pemakai ‘bermandi peluh’.

“Niat saya bekerja cuma nak hiburkan orang ramai”

Bercerita mengenai pengalaman sepanjang mengenakan kostum itu, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakannya adalah dijemput ke sebuah hospital untuk menghiburkan kanak-kanak di sana.

“Sebelum ini, saya pernah dijemput ke hospital untuk menghiburkan kanak-kanak. Rata-rata mereka terdiri daripada kalangan yang menghidap kanser.

“Jadi kehadiran saya sebagai maskot panda sedikit sebanyak mengubati luka dan membuatkan mereka gembira,” jelasnya lagi.

panda sara keluarga
Gambar: Siakap Keli

Namun, dia juga pernah berdepan episod duka apabila maskot yang disewakan kepada pelanggang dipulangkan dalam keadaan rosak.

Malah, ada juga maskot yang hilang ketika dalam jagaan penyewanya.

BACA JUGA: “Kalau Tak Sabar Memang Gulung Tikar,” Tauke Tumez Cerita Pernah Dapat Untung RM1 Je

Situasi itu membuatkan dia merasa hampa kerana kos yang perlu dikeluarkan untuk membaiki atau membeli maskot baharu bukannya murah.

Gambar: Siakap Keli

Sementara itu, penerimaan ahli keluarga dan rakan-rakan mengenai penglibatannya dalam kerjaya maskot ini juga mendapat reaksi positif.

Menurutnya, setakat ini mereka masih memberikan sokongan penuh buat dirinya dalam mencari rezeki tambahan.

Gambar: Siakap Keli

“Apapun perkara yang dilakukan, kita jangan lupa pada Allah, kerana Dia yang memberi rezeki, memberi kesihatan. Kalau saya tak sihat, saya tak sampai ke dataran ni dan tak dapat hiburkan orang ramai.

“Jadi nasihat saya, jangan tinggal solat lima waktu. Bukan senang nak senang, yang senang taknak susah. Semoga hari esok lebih baik daripada hari ini,” pesannya kepada orang ramai.

Sekiranya ingin membuat tempahan seperti kostum atau sambutan hari lahir boleh hubungi Encik Saiful di talian 0173880858 atau di platform TikTok @Epul’sMaskot_official atau di Facebook Saiful Nizam.

Nak tahu dengan lebih lanjut mengenai kisah hidup Saiful, boleh tonton video di bawah.

The post Ayah Sarung Maskot, Jadi Penghibur Jalanan Cari Duit “Extra” Sara Keluarga appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *