ASM 2 Wawasan isytihar pembayaran agihan

ASM 2 Wawasan Isytihar Pembayaran Agihan Pendapatan Sebanyak RM1.04 Bilion

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) — Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM1.04 bilion yang akan memanfaatkan 914,008 pemegang unit.

PNB dalam satu kenyataan hari ini berkata pengagihan pendapatan ASM 2 Wawasan itu adalah bersamaan dengan jumlah pulangan sebanyak 4.50 peratus mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 Bulan Maybank yang berada pada paras 2.89 peratus sebanyak 161 mata asas.

Sehingga 29 Ogos 2023, dana tersebut memperoleh jumlah pendapatan kasar sebanyak RM1.08 bilion dan mencatatkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM810.23 juta.

“Pendapatan bagi ASM 2 Wawasan diperoleh daripada keuntungan modal, pendapatan dividen serta pendapatan-pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.

“Pendapatan daripada ekuiti kekal sebagai penyumbang utama dengan pelaburan antarabangsa dan domestik masing-masing menyumbang 29.2 peratus dan 55.7 peratus kepada pendapatan kasar dana,” katanya.

PNB berkata, dana tersebut juga mendapat manfaat daripada kepelbagaian portfolio dalam kelas aset lain, terutamanya hartanah dan ekuiti persendirian yang mewakili 10 peratus daripada jumlah nilai aset bersih.

Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASM 2 Wawasan adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi dana tersebut.

Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM 2 Wawasan akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 September, 2023.

Urus niaga ASM 2 Wawasan di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua platfom digital dan perbankan internet telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 29 hingga 31 Ogos, 2023.

Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di portal myASNB (www.myasnb.com.my), melalui aplikasi mudah alih myASNB atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 1 September, 2023.

Sumber: BERNAMA

The post ASM 2 Wawasan Isytihar Pembayaran Agihan Pendapatan Sebanyak RM1.04 Bilion appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *