Anggota Rela Maut: 31 Ogos Tarikh Yang Dinanti-nantikan Abah

Anggota Rela Maut: 31 Ogos Tarikh Yang Dinanti-nantikan Abah

SEREMBAN, 1 Sept (Bernama) — Tanggal 31 Ogos merupakan tarikh yang sentiasa dinanti-nantikan Allahyarham Muhammad Noh Muhammad Isa, 53, setiap tahun kerana mahu menyertai perbarisan bersempena dengan Hari Kebangsaan bersama-sama pasukannya dalam Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Perkara itu dikongsikan anak lelaki kepada Ketua Perbarisan Kontinjen RELA Negeri Sembilan itu yang meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai perbarisan Hari Kebangsaan ke-66 di Dataran Majlis Bandaraya Seremban di sini semalam.

Ahmad Harraz, 20, yang turut bersama-sama berada dalam kalangan 45 anggota kontinjen ketika perarakan semalam berkata ayahnya sentiasa melakukan yang terbaik untuk pasukan dan paling bersemangat memulakan latihan bagi sambutan berkenaan.

“Abah memang sangat teruja dan gembira menunggu ketibaan 31 Ogos yang merupakan tarikh yang sentiasa ditunggu-tunggu untuk dia ‘beraksi’, dia mahu lihat RELA ini disegani orang ramai, sebab ia bukan macam badan beruniform lain seperti polis atau bomba yang sangat hebat di mata orang ramai.

“Abah mahu RELA dilihat seperti itu, sebab itu dia akan beri komitmen yang sangat tinggi. Abah nak tengok RELA ini setanding dengan pasukan badan beruniform lain termasuk ketika perbarisan Hari Kebangsaan, jadi dia buat sungguh-sungguh,” katanya yang menjadi anggota RELA secara separuh masa sejak beberapa tahun lepas bersama kakaknya Qistina Amierah, 21.

Ahmad Harraz berkata demikian ketika ditemui di rumahnya semasa lawatan Pengarah RELA Negeri Sembilan Penolong Pesuruhjaya Kanan Muhammad Faiz Musa dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri Nur Muhammad Bakhtir Mohamad Akhir di sini hari ini.

Allahyarham Muhammad Noh dilaporkan jatuh dan tidak sedarkan diri kira-kira 10 pagi semalam, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini dan bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan masalah jantung.

Menceritakan kejadian semalam, Ahmad Harraz berkata pada pagi sebelum perbarisan, ayahnya itu tidak menunjukkan sebarang tanda tidak sihat atau kepenatan, malah menyangkakan Muhammad Noh hanya pengsan ketika jatuh pada acara berkenaan.

“Saya berada di belakang abah dan memegang bendera. Di hujung perbarisan, tiba-tiba abah pitam. Kaki saya sudah pun melangkah. Saya sempat pegang sebelah badan abah, namun terlepas dan disambut anggota yang berbaris di belakang.

“Saya teruskan juga kerana perbarisan masih berlangsung. Saya ingat dia pitam biasa. Bila dah habis serta berada di padang, saya yang sudah tidak sedap hati segera mencari maklumat mengenai abah dan segera ke hospital, kemudian doktor maklumkan abah dah tiada,” katanya.

Ahmad Harraz yang merupakan mahasiswa semester dua dalam jurusan Ekonomi Kewangan Islam di Universiti Pendidikan Sultan Idris itu berkata dia akan sentiasa mengingati pesanan Allahyarham supaya bertanggungjawab dalam menjalankan tugas selain menjaga keluarga dengan sebaiknya.

Dalam pada itu, isteri Allahyarham, Maniliza Abdul Hamid, 47, berkata pada malam sebelum sambutan, suaminya ada mengadu kepenatan tapi bertegas mahu meneruskan tugasnya berikutan dia merupakan ketua untuk perbarisan itu.

“Dia selalu sakit dada tapi tak suka ke hospital. Tidak ada apa-apa tanda dia nak pergi. Suami berseloroh kata dia nak pengsan esok (hari kejadian), mungkin kerana penat, tapi saya tak fikir apa-apa. Minggu depan kami merancang untuk bercuti sekeluarga, dia kata nak berehat, tak sangka dia berehat selama-lamanya,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Faiz berkata Allahyarham ialah pejuang dan wira dalam RELA, selain pemergiannya akan dirasai keseluruhan pasukan berikutan Muhammad Noh merupakan seorang yang suka membantu orang lain terutama dalam kawad kaki.

BACA: Guna Dua Bahan Mudah, Ini Cara Matikan Rumput Tanpa Guna Racun

Sumber: Bernama

The post Anggota Rela Maut: 31 Ogos Tarikh Yang Dinanti-nantikan Abah appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *