stesen lama port dickson

“Ada Jeti,” Persatuan Kartografi Melaka Jejaki Stesen Kereta Api Lama Port Dickson

Selari dengan perkembangan teknologi masa kini, kita dapat melihat kereta api di Malaysia semakin maju yang menghubungkan bandar-bandar utama.

Bermulanya dengan pembukaan landasan kereta api pertama di Malaya yang menghubungkan Taiping ke Port Weld pada tahun 1885, sehingga perkhidmatan tren elektrik (ETS) beroperasi tahun 2010.

Namun, tahukah anda terdapat beberapa laluan yang dahulunya ada, kini sudah tidak beroperasi lagi?

papan tanda stesen lama
Papan tanda lama stesen Port Dickson. Kredit: Persatuan Kartografi Melaka.

Kali ini, SK ingin membawa anda menjejaki stesen kereta api lama Port Dickson di Negeri Sembilan. Stesen ini dahulunya menyambungkan Port Dickson dengan Seremban, dan merupakan laluan kereta api kelima tertua di Malaysia.

Mari ikuti perkongsian penasihat dan penyelidik RailCREP, Shahrul Azzim Abd. Aziz. Beliau juga merupakan Pengerusi Persatuan Kartografi Melaka.

Seremban – Port Dickson, laluan kereta api kelima tertua di Malaysia

keretapi lama port dickson
Stesen kereta api lama Port Dickson, Negeri Sembilan. Kredit: Persatuan Kartografi Melaka.

Pasukan penyelidik Railway Cartographic Research Project (RailCREP), Persatuan Kartografi Melaka berpeluang menjejaki lokasi yang menempatkan warisan sejarah kereta api lama yang terdapat di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Warisan sejarah yang terdapat di lokasi ini iaitu stesen kereta api lama, jeti kereta api, landasan dan papan tanda kawasan. Beberapa fasiliti yang lain juga masih boleh dilihat sehingga ke hari ini.

Berdasarkan sejarah, laluan kereta api di antara Seremban – Port Dickson ini telah siap dibina dan mula digunakan pada tahun 1891. Laluan ini merupakan salah satu jaringan kereta api terawal yang dibina dan digunakan di Malaysia.

tinggalan landasan
Tinggalan landasan kereta api. Kredit: Persatuan Kartografi Melaka

Pada awalnya, syarikat yang menguruskan laluan tersebut ialah Sungei Ujong Railway Company dan seterusnya diambil alih oleh Federated Malay States Railway (FMSR) pada tahun 1908.

Fungsi sistem jaringan kereta api ini untuk mengangkut bijih timah dan juga penumpang dari Seremban sehingga ke Port Dickson. Pada tahun 2008, laluan tersebut telah ditamatkan perkhidmatannya.

jeti port dickson
Jeti berhampiran stesen kereta api lama Port Dickson. Kredit: Persatuan Kartografi Melaka

Pasukan penyelidik membuat analisis dan perbandingan di antara sebuah naskah kartografi lama yang diterbitkan pada tahun 1943 (Berdasarkan tinjauan yang telah dibuat pada tahun 1931) dengan imej satelit Google Earth tahun 2024.

peta jeti stesen port dickson
Perbandingan naskah kartografi lama berusia 81 tahun dengan imej satelit Google Earth 2024. Kredit: Persatuan Kartografi Melaka.

Di dalam peta lama yang berusia 81 tahun tersebut, terdapat beberapa perincian fasiliti kereta api di Port Dickson yang dipaparkan antaranya ialah stesen, jeti, landasan, kuarters, bangsal barangan dan juga “turntable” kereta api.

Apa yang menarik di dalam peta tersebut, lokasi “turntable” kereta api yang terdapat di stesen kereta api Port Dickson adalah terletak di atas jeti.

Sumber: Persatuan Kartografi Melaka, Keretapi Tanah Melayu Berhad, Facebook KTM Berhad

BACA: Malaysia Negara Ke-6 Dengan Wanita Tercantik Di Asia

The post “Ada Jeti,” Persatuan Kartografi Melaka Jejaki Stesen Kereta Api Lama Port Dickson appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *