10 pendaki trans titiwangsa

10 Pendaki Berjaya Tamatkan Trans Titiwangsa V4, Babit Jarak 238 KM

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) — Seramai 10 pendaki tempatan termasuk dua wanita, berjaya mengharungi cabaran pendakian ekstrem Trans Titiwangsa Versi Empat (TTV4) di Banjaran Titiwangsa, banjaran gunung terpanjang Malaysia.

Mereka yang dibantu empat malim gunung mengambil masa 33 hari bagi menamatkan jarak sejauh 238 kilometer, bermula di Sungai Renyuk, Jeli, Kelantan dan berakhir di Blue Valley Dam, Cameron Highlands, Pahang pada 23 Mei lalu.

Sepanjang pendakian, mereka menawan 63 puncak termasuk enam daripada tujuh gunung tertinggi di Semenanjung dengan ketinggian lebih 2,000 meter.

Sepuluh pendaki terbabit adalah Muhamad Izzat Syahmi Ahmad Shokree, 22; Abdul Halim Mohammad, 27; Erwan Rezal Nasaruddin, 45; Danesh Murugan, 28; Qayum Ahmad, 33; Nurul Rizqi Che Muda, 36; Chiah Ruey Peng, 29; Muhammad Hanif Muhammad Abdul Wahid, 25; Mohamad Ariff Omar, 37 dan Muhamad Zamri Bahari, 33.

Berkongsi pengalamannya dengan Bernama, Muhammad Hanif yang aktif mendaki sejak 2017, berkata pendakian di Banjaran Titiwangsa amat menguji ketahanan mental dan fizikal kerana lebih 60 peratus denai yang dilalui mereka bukan denai komersial, iaitu laluan pendakian biasa.

“Pendakian di kawasan Hutan Simpan Kekal dari Gunung Basor hingga Gunung Chamah misalnya, melibatkan denai The North Titiwangsa Upper (TNT Upper) yang sangat jarang digunakan sebagai laluan mendaki mahupun dimasuki orang.

“Sambil mendaki dengan menggalas beg seberat 30 hingga 35 kilogram, kami juga perlu menebas anak pokok dan semak samun bagi membuka laluan. Akar yang berselirat di permukaan juga menambah kesukaran pergerakan kami,” katanya.

BACA: Jangan Main Pilih, Ini Cara Pastikan Horse Power “Aircond” Sesuai Dengan Saiz Bilik

Kongsi anak jati Pantai Remis, Perak itu, mereka turut berdepan detik mencemaskan apabila berlaku tanah runtuh melibatkan sebahagian daripada denai mendaki dari Kem Kuali ke puncak Gunung Yong Belar.

“Melihat pada struktur tanah, kami berpendapat kejadian baru berlaku dan masih ada pergerakan tanah. Cuaca hujan memburukkan lagi keadaan, namun kami terpaksa juga lalui denai itu sekalipun berasa gerun kerana di sebelah kanan ada gaung yang dalam.

“Kami tidak ada banyak pilihan kerana jarak ke puncak Gunung Yong Belar sekitar 15 minit sahaja dari situ, dan jika kami merintis denai lain mungkin memakan masa lebih sehari,” tambahnya.

Bagi Danesh pula, dia bersyukur masih dipanjangkan umur selepas mengalami hipotermia (kesejukan melampau) yang mengakibatkanya tidak sedarkan diri selama satu setengah jam pada hari ke-29 pendakian.

Puncanya, mereka terpaksa memulakan perjalanan seawal 2 pagi kerana sudah terlewat daripada jadual asal dan cuaca hujan sepanjang pendakian.

“Dengan suhu bawah 17 darjah Celsius, badan saya ketika itu sudahpun menggigil kesejukan dan sedikit sukar untuk bernafas. Dalam keadaan sedemikian saya tetap gagahkan diri meneruskan pendakian dan kami tiba di Kem Lopak Air pada 5.30 petang. Ketika saya sedang memasang flysheet khemah, tiba-tiba saya rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya.

Bagaimanapun kata Danesh, tindakan pantas rakan-rakan yang memakaikannya selimut kecemasan serta menyalakan dapur mudah alih berjaya memanaskan badannya dan menaikkan kembali suhu tubuh ke paras normal.

BACA JUGA: Ini Kaedah Yang Lebih Cepat Nak “Check” Keputusan SPM 2023

Sementara itu, Ruey Peng yang berpengalaman mendaki di luar negara seperti di New Zealand, Indonesia dan Nepal, berkata mendaki di Banjaran Titiwangsa yang diliputi hutan hujan tropika memberikan cabaran yang lebih sukar namun menarik kerana kaya dengan keindahan biodiversiti.

“Selain tapak kaki harimau Malaya, gajah, kami juga menjumpai beberapa flora dan fauna yang boleh dikategorikan spesies endemik dan dilindungi seperti siput api (fire snail), baning bukit (kura-kura), ular kapak ekor merah, orkid Corybas holttumii dan bungaRafflesia.

Dalam pada itu, Pengarah Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) Mohd Yussainy Md Yusop berkata sebelum ini, rekod pendakian adalah TTV3 dengan jarak 116 km.

“Kejayaan sulung TTV4 anjuran Silver Outdoor Sports serta Sfre Hiking and Scuba Diving Club membolehkan JPSM dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) mengambil data lapangan daripada peserta untuk menyegerakan trail pendakian rasmi di Banjaran Titiwangsa.

“Ini membolehkan pemantauan dan mengesan sekiranya berlaku perubahan hutan, selain boleh dijadikan produk pelancongan pendakian ekstrem seperti Appalachian Trail di Amerika Syarikat,” katanya yang turut menyampaikan sijil kepada 10 pendaki berkenaan bagi mengiktiraf kejayaan mereka itu, baru-baru ini.

Sumber: BERNAMA

The post 10 Pendaki Berjaya Tamatkan Trans Titiwangsa V4, Babit Jarak 238 KM appeared first on Siakap Keli.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *